Maulidur Rasul Tanda Cinta Kita Kepada Nabi Muhammad SAW

Maulidur Rasul Tanda Cinta Kita Kepada Nabi Muhammad SAW
Jika kita ikuti sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW, baginda dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun Gajah. Mengikut kalendar Islam, hari ini merupakan Maulidur Rasul atau hari keputeraan baginda SAW iaitu penghulu sekalian Nabi dan Rasul.

Menjadi kelaziman kita menyambut Maulidur Rasul pada setiap tahun sebagai menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Ya, kita mungkin tidak sempat hidup atau bertemu dengan baginda SAW, namun perjuangan Rasulullah dalam menyebarkan dakwah Islam tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, menjadi tugas kita umat akhir zaman dalam menyebarluaskan adab dan akhlak yang diajarkan baginda.

Sebagai tanda seorang umat Islam terhadap pemimpin paling agung sepanjang zaman, ia perlu dizahirkan menerusi pengisian program kerohanian yang mendekatkan kita kepada Rasulullah SAW sempena sambutan Maulidur Rasul. Antaranya menerusi alunan selawat ke atas baginda sambil melakukan perarakan, ceramah agama, majlis khatam al-Quran dan lain-lain yang menjadi kelaziman kita.

Ada yang tertanya-tanya apakah hukum menyambut Maulidur Rasul?
Bolehkah ia disambut secara besar-besaran seperti hari perayaan umat Islam?

Ini adalah pandangan dari salah seorang pendakwah terkenal, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid.



Maulidur Rasul sebenarnya begitu istimewa kerana tidak pernah lagi kita menyambut kelahiran seseorang yang sudah tiada lagi di dunia. Sedangkan Nabi Muhammad SAW, kita sambut (hari keputeraan baginda), seolah-olah masih hidup. Ini bermakna, ajaran nabi itu berjalan hingga hari kiamat. Itulah keistimewaannya.
Lazimnya, apabila kita menyambut Maulidur Rasul, ia sebenarnya menunjukkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Ya, apabila kita cintakan seseorang, pasti kita akan ingat hari kelahiran dia.
Apabila kita sayang dan cintakan seseorang, biasanya kita akan suka dengan apa sahaja yang dia lakukan, cara dia makan dan minum, cara berpakaian dan gaya rambut dia. Begitulah juga apabila kita sayang dan cintakan baginda SAW yang mana apa yang nabi lakukan, pasti kita akan turutkan," katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

Ustaz Wan Akashah meneruskan perkongsian ilmunya. Beliau membangkitkan soal hukum mengingati Maulidur Rasul.

Meskipun hukumnya bukanlah wajib, tetapi beliau berkata, umat Islam digalakkan berbuat demikian kerana sambutan itu sebenarnya membangkitkan 'roh' atau semangat keislaman kembali memutik dalam sanubari hati orang Islam.

Ya, dengan sambutan Maulidur Rasul yang biasanya diadakan ceramah, qiamullail, perarakan dan sebagainya, ia akan membibitkan semua perasaan tersebut.
Bukan itu sahaja, kita juga akan mendapat pahala apabila mengadakannya kerana memuliakan kekasih ALLAH SWT. Bahkan, apabila kita lakukan perkara itu, ia seolah-olah berjihad pada jalan ALLAH. Jadi, dapatlah pahala dan termasuk dalam amal soleh," ujar beliau.

Justeru, jelas Ustaz Wan Akashah, tidak salah jika sambutan Maulidur Rasul itu diadakan sama meriah dengan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.



Post a Comment

1 Comments

Terima kasih atas komen anda :)