Klip Dada atau Chest Clip pada Car Seat

Klip Dada atau Chest Clip pada Car Seat
Klip Dada atau Chest Clip pada Car Seat

Chest clip atau ‘klip dada’ adalah klip yang terdiri daripada dua bahagian yang diklipkan bersama dan digunakan untuk memegang dua tali keledar anak supaya ia kekal berada di atas bahu dan dada anak semasa dalam perjalanan. Ia boleh ditemui pada kerusi keselamatan kanak-kanak (child restraint system, CRS) berpiawaian dari Amerika Syarikat (FMVSS 213).

Kebanyakan kanak-kanak pada umur tertentu akan sentiasa cuba untuk mengeluarkan diri dari dibelenggu tali keledar dengan mengeluarkan tangan mereka. Kelakuan ini mendatangkan risiko kecederaan yang tinggi sekiranya berlaku perlanggaran kerana semua tenaga perlanggaran akan tertumpu pada bahagian pengancing tali keledar yang berada di bahagian abdomen anak dan bukan disebarkan ke seluruh bahagian bahu dan dada seperti kedudukan tali keledar yang sepatutnya.

Klip dada mampu mengelakkan perkara ini berlaku sekiranya ia DIGUNAKAN DENGAN BETUL.



Walaubagaimanapun, anda mungkin tidak akan menemui klip dada pada kerusi keselamatan yang disahkan oleh UNECE kerana terdapat spesifikasi di bawah R44.04 yang menyatakan bahawa kanak-kanak harus boleh dikeluarkan dari kerusi keselamatan dengan satu operasi sahaja. Dengan adanya klip dada, ini akan menjadikan proses lebih panjang kepada dua operasi. Proses yang lebih panjang ini akan melambatkan operasi menyelamat.

Selain memastikan tali keledar berada pada posisi yang betul pada setiap masa sebelum berlakunya pelanggaran, klip dada ini juga berfungsi sebagai salah satu alat pengurusan tenaga. Ketika pelanggaran hadapan berlaku, klip ini akan melurut dari posisi asalnya di dada ke bawah. Proses ini memperlahankan bahagian abdomen kanak-kanak dari terlontar ke hadapan secara mengejut, oleh itu mengurangkan beban dan kecederaan pada leher.


Berbeza dengan CRS berpiawaian UNECE yang tidak mempunyai klip dada, fungsi pengurusan tenaga ini diambil alih oleh pelapik tali keledar. Oleh sebab ini, kita akan dapati pelapik tali keledar CRS UNECE adalah jauh lebih besar dan tebal daripada pelapik tali keledar CRS FMVSS.

Ketebalan dan saiznya yang lebih besar ini akan menyerap sebahagian tenaga impak ketika berlakunya perlanggaran. Sesetengah pelapik tali keledar juga mempunyai lapisan anti-gelincir yang berfungsi untuk memastikan tali keledar tidak terjatuh dari bahu dan berada pada posisi yang betul pada setiap masa.

Jadi, adakah dibenarkan untuk menambah klip dada pada CRS yang tidak direka dengan klip dada ini?

Jawapannya:

TIDAK BOLEH kerana ia tidak diuji bersama-sama kerusi keselamatan tersebut dan sebarang modifikasi terhadap kerusi keselamatan akan membatalkan jaminannya.

Nak tahu lebih lanjut mengenai Car Seat, boleh follow page Child Passenger Safety Malaysia (CPSM)


Post a Comment

0 Comments