Minum Kopi: Baik Atau Sebaliknya?

Minum Kopi: Baik Atau Sebaliknya?
Minum Kopi: Baik Atau Sebaliknya?

Minuman kopi memainkan peranan penting dalam membentuk dan mengubah pelbagai budaya meminum minuman panas di serata pelusuk dunia. Lebih dikenali sebagai ‘kopi’ di Malaysia. Minuman ini pertama kali diperkenalkan sewaktu pembukaan kedai-kedai ‘kopitiam’ (‘kopi’ diambil dari Bahasa Melayu dan ‘tiam’ bermaksud kedai dalam dialek Hokkien) bermula di zaman penjajahan British. Tidak seperti negara lain yang menggunakan kaedah bru, kopi di Malaysia dipanggang dengan mentega dan gula sebelum ditambah dengan air mendidih melalui penapis kain.

Tidak kiralah samada di kedai kopi biasa, kedai-kedai kopitiam sehinggalah latte tanpa lemak dengan lelehan caramel sebagai hiasan di Starbucks, rakyat Malaysia sememangnya gemarkan kopi!

Secara purata, rakyat Malaysia meminum 2.5 cawan kopi setiap hari.

Namun persoalannya adalah: adakah kopi memberikan kesan baik atau sebaliknya untuk anda?

KEBAIKAN KOPI

1. Membantu anda kekal berjaga

Satu cawan kopi biasa bukan sahaja mampu membantu anda kekal berjaga tetapi juga boleh membuatkan minda anda kekal fokus. Kafein adalah perangsang psikoaktif yang meningkatkan kesedaran, perhatian, keupayaan untuk memberi tumpuan, dan meningkatkan tahap tenaga secara keseluruhan.

2. Meningkatkan produktiviti

Satu kajian yang diterbitkan pada 2013 menyimpulkan bahawa pengambilan kafein dalam jumlah sederhana boleh meningkatkan prestasi motor dan kognitif. Satu kajian terbaru yang diterbitkan pada April 2018 mendapati bahawa menghidangkan kopi sewaktu mesyuarat boleh meningkatkan prestasi mereka yang terlibat dalam perbincangan tersebut.

Kafein dikenali sebagai penghalang reseptor untuk adenosin, satu kompaun di dalam otak yang menjadi punca keletihan dan mengantuk, oleh itu ianya boleh meningkatkan prestasi fizikal dan mental. 

3. Menjadikan emosi menjadi lebih baik

Satu kajian yang dilakukan oleh A. Nehlig menunjukkan bahawa pengambilan kafein secara berulang dalam kadar 75mg (bersamaan dengan 1 cawan kopi) boleh memberi kesan dalam perubahan emosi yang lebih baik. [1] Kajian juga menunjukkan kafein boleh membantu mengurangkan simptom kemurungan. [2]

[1] Nehlig A. (2010) Is Caffeine a Cognitive Enhancer?J Alzheimers Dis, 20(S1):85-94.

[2] Grosso G. et al. (2016) Coffee, tea, caffeine and risk of depression: a systematic review and dose-response meta-analysis of observational studies.Mol Nutr Food Res, 60(1):223-3.

KESAN PENGAMBILAN KOPI YANG BERLEBIHAN

Pengambilan kafein secara berlebihan adalah fenomena yang boleh berlaku, berikut adalah gejala yang akan anda alami apabila mengambil kopi secara berlebihan:

  • Rasa gelisah dan gementar
  • Jantung berdebar-debar
  • Loya
  • Merasa bimbang secara tiba-tiba
  • Insomnia
  • Pening                     

Dapatkan rawatan perubatan dengan segera jika anda mengalami simptom terlebih dos kafein yang serius.

APA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG KAFEIN?

Decaf Tidak Sama Dengan Bebas Kafein

Kopi decaf masih mengandungi 3% kafein. Jumlahnya mungkin lebih kecil tetapi meminum 5 cawan kopi decaf atau lebih bersamaan dengan 1 cawan kopi berkafein biasa.


Kopi Memberi Tindak Balas Yang Cepat

Bermula dengan sisipan kopi pertama pada waktu pagi, kafein memasuki aliran darah anda dengan pantas. Satu cawan kopi mempunyai penyerapan kafein yang cepat ke dalam aliran darah anda di mana ianya mengambil masa lebih kurang 20 minit.

Setiap Orang Mengalami Kesan Yang Berbeza

Daya penerimaan kafein biasanya bergantung kepada gaya hidup, metabolisme dan genetik anda. Jika metabolisme tubuh lebih tinggi, kafein yang terkandung di dalam kopi lebih cenderung untuk membuat anda berasa gelisah dan gementar. Mereka yang menderita penyakit darah tinggi, diabetes, masalah jantung, osteoporosis dan wanita hamil disarankan untuk mengelakkan atau mengurangkan pengambilan kafein.


“Daya penerimaan kafein biasanya bergantung kepada gaya hidup, metabolisme dan genetik anda.”

Minuman Tenaga Mempunyai Kafein Yang Lebih Rendah Berbanding Kopi

1 tin minuman tenaga mengandungi sekurang-kurangnya 80mg kafein, manakala satu cawan kopi mengandungi 110 – 150 mg kafein. Minuman tenaga biasanya tidak bergantung kepada kafein, sebaliknya ia mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi atau bahan-bahan lain yang memberi tenaga.

Tahap Kandungan Kafein Tidak Bergantung Pada Warna Biji Kopi

Biji kopi yang lebih gelap biasanya dianggap mempunyai tahap kafein yang lebih tinggi. Rasa pahit yang ada pada biji kopi sebenarnya bergantung kepada tahap ianya dibakar, bukan pada kafein. Biji kopi yang gelap sebenarnya mempunyai jumlah kafein yang lebih kurang sama dengan biji kopi yang dipanggang dengan warna lebih cerah.

MINUM KOPI SECARA BERPADA

Disebabkan kopi adalah minuman yang digemari ramai, kebarangkalian untuk orang berhenti meminumnya adalah rendah. Jadi, di sini kami kongsikan 3 tips buat penggemar kopi untuk minum secara berpada.

“Pengambilan kafein secara sederhana bersamaan dengan 400mg, atau 3 hingga 4 cawan kopi sehari.”

1. Kawal pengambilan kopi

Pengambilan kopi secara sederhana adalah selamat, dan ianya boleh termasuk dalam sebahagian dari diet sihat oleh kebanyakan orang dewasa. Pengambilan kafein secara sederhana bersamaan dengan 400mg, atau 3 hingga 4 cawan kopi sehari.

2. Tambah sedikit susu ke dalam kopi anda

Walaupun kopi hitam boleh memberi anda rangsangan tenaga dengan pantas, menambah sedikit susu ke dalam kopi juga sebenarnya mempunyai beberapa manfaat kesihatan, seperti membantu pola tidur, keasidan dan pengambilan kalsium.

3. Bertukar ke teh sekali-sekala

Terdapat beberapa manfaat kesihatan apabila anda bertukar daripada kopi ke teh sekali-sekala. Tidak seperti kopi yang boleh memberi kesan sampingan jika anda tidak meminumnya sehari, teh boleh membantu anda berasa lebih relaks sepanjang hari. Ianya juga mampu mengurangkan berat badan dan mengurangkan kadar kolesterol.

KEPUTUSANNYA?

Jadi, adakah kopi baik atau buruk untuk anda? Jawapannya ambillah secara sederhana. Satu atau dua cawan kopi sehari boleh memberi anda manfaat kesihatan, tetapi pengambilan empat cawan atau lebih dalam sehari boleh memberi kesan negatif. Lebih baik mengambil kopi secara sederhana sambil memantau kesan kafein dan mengetahui had pengambilan yang tubuh anda boleh terima.



Post a Comment

0 Comments