Soalan Lazim Tentang Jangkitan MonkeyPox

Soalan Lazim Tentang Jangkitan MonkeyPox

1. Apakah itu penyakit cacar monyet (monkeypox)?

Monkeypox atau cacar monyet adalah sejenis penyakit zoonotik yang disebabkan oleh virus monkeypox. Virus tersebut tergolong dalam genus Orthopoxvirus daripada keluarga Poxviridae. Virus lain dalam keluarga Poxviridae adalah termasuk cacar air (smallpox), vaccinia, cowpox, camelpox dan ectromelia (mousepox).

Selepas cacar berjaya dibasmi pada tahun 1980 dan pemberian vaksin cacar diberhentikan, cacar monyet telah muncul sebagai jangkitan orthopoxvirus yang paling lazim berlaku pada manusia.

Terdapat dua (2) clade virus cacar monyet iaitu dari Afrika Tengah (Congo Basin) dan Afrika Barat. Virus clade Congo Basin telah menyebabkan penyakit yang lebih teruk dan ia lebih mudah berjangkit.

Nama cacar monyet agak mengelirukan kerana pembawa utama virus ini adalah haiwan kecil, seperti tikus. Ia dinamakan sedemikian kerana virus ini pertama kali ditemui dalam monyet makmal pada akhir 1950-an. Walau bagaimanapun, saintis masih tidak dapat menentukan sama ada monyet adalah haiwan pembawa yang utama.

2. Apakah prevalens cacar monyet?

Cacar monyet telah dilaporkan di kawasan hutan hujan tropika di Afrika Tengah dan Afrika Barat. Negara yang terdapat di kedua-dua Kawasan ini adalah Republik Demokratik Congo, Republik Congo, Cameroon, Republik Afrika Tengah, Nigeria, Ivory Coast, Liberia, Sierra Leone, Gabon dan Sudan Selatan.

Cacar monyet dianggap endemik di Republik Demokratik Congo (DRC). Sejak 2005, terdapat lebih 1,000 kes yang disyaki dalam setahun. Nigeria pula pernah melaporkan kejadian wabak yang besar pada tahun 2017 hingga 2018. 

3. Cacar monyet adalah penyakit zoonotik. Apakah haiwan yang terlibat?

Banyak spesis haiwan yang didapati dijangkiti virus cacar monyet. Ia termasuk spesis tupai tali dan tupai pokok, tikus gergasi Gambia, tikus belang, dormis dan primat.

Tikus seperti tikus gergasi Gambia (Cricetomys gambianus) dan tupai disyaki sebagai haiwan pembawa semula jadi virus ini.

4.Betapa meluasnya penyakit ini di luar Afrika?

Setakat ini, terdapat beberapa kes yang dilaporkan di luar Afrika:

i. Pada tahun 2003, CDC Atlanta melaporkan 47 kes yang disahkan dan disyaki cacar monyet di enam (6) buah negeri di Amerika Syarikat. Kes dijangkiti selepas bersentuh dengan anjing prairie yang dibeli sebagai haiwan peliharaan. Anjing - anjing tersebut telah disimpan berdekatan dengan mamalia kecil yang diimport dari Ghana sebelum ia dibeli. Siasatan mendapati sesetengah pesakit dijangkiti
selepas menyentuh anjing yang sakit, atau selepas digigit atau dicakar; atau selepas membersihkan sangkar dan tempat tidur haiwan tersebut. Tiada kes disebabkan penularan daripada manusia ke manusia.

ii. Pada September 2018, United Kingdom telah melaporkan kes import pada dua (2) orang pengembara yang pulang dari Nigeria.

iii. Pada 12 Oktober 2018, Israel melaporkan satu (1) kes, iaitu seorang lelaki Israel berusia 38 tahun yang bekerja di Nigeria dan telah kembali semula ke Israel. Beliau mempunyai sejarah kontak dengan tikus mati.

iv. Pada 9 Mei 2019, Singapura melaporkan satu (1) kes, seorang warga Nigeria yang memasuki Singapura pada 28 April 2019 dan mempunyai sejarah memakan daging binatang liar di Nigeria.

v. Pada Mei 2022, terdapat wabak cacar monyet di United Kingdom, Portugal, Sepanyol dan beberapa buah negara Eropah yang lain. Sehingga 20 Mei 2022, sebanyak 80 kes yang disahkan dan 30 kes yang disyaki, termasuk sembilan (9) kes di England, 17 kes di Kanada, dan 23 kes di Sepanyol. Terdapat juga kes di Portugal, Sweden, Itali dan Perancis. Dua kes yang disyaki juga telah dilaporkan di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

5.Bagaimana saya boleh dijangkiti virus ini?

Virus cacar monyet disebarkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan secara langsung dengan darah haiwan yang dijangkiti, cecair badan atau lesi pada kulit / mukosa.


Penularan jangkitan daripada manusia ke manusia lain jarang berlaku. Namun ia boleh berlaku melalui sentuhan rapat dengan ruam makulopapular orang yang dijangkiti semasa pesakit bergejala.

6. Apakah gejala penyakit ini?

Tempoh inkubasi (masa daripada jangkitan kepada mula bergejala) untuk cacar monyet ini kebiasaannya adalah antara 7 hingga 14 hari (atau dalam lingkungan masa di antara 5 hingga 21 hari). Gejala yang dialami adalah demam, sakit badan, sakit kepala, bengkak kelenjar limfa dan ruam. Pesakit yang dijangkiti akan sembuh tanpa rawatan dalam tempoh selama 2 hingga 4 minggu.

Selepas dua (2) hari demam, ruam akan kelihatan bermula pada muka dan merebak ke lengan dan kaki, kemudian ke telapak tangan dan kaki. Ruam biasanya merebak ke semua bahagian badan dalam tempoh 24 jam. Walau bagaimanapun, lazimnya ia lebih tertumpu pada muka, lengan dan kaki.

Ruam bermula sebagai makular dan papular, kemudian berkembang menjadi vesikel dan pustular. Ruam kemudiannya berubah menjadi kuping dan tercabut dalam tempoh 2 hingga 4 minggu. Ruam cacar monyet berbeza dengan cacar air (chickenpox), di mana lesi cacar air berada pada pelbagai peringkat perkembangan dan penyembuhan, berbanding lesi cacar monyet yang berada pada peringkat yang sama.

Bengkak kelenjar limfa berlaku pada masa ruam terbentuk. Ciri ini juga membezakannya daripada cacar air atau kayap (varicella).

7. Apakah risiko penularan jangkitan cacar monyet di Malaysia?

Kes cacar monyet yang berlaku di negara selain kawasan endemiknya kemungkinan mempunyai kaitan dengan kemasukan kes (import). Risiko penularannya di Malaysia adalah sangat rendah kerana kaedah penularan dari manusia ke manusia adalah terhad.

Justeru, pengecaman awal kes adalah penting supaya pengurusan awal kes termasuk pengasingan dan pengesanan kontak dapat segera dilakukan.

8. Bagaimanakah kes baru dikenalpasti?
Kes jangkitan cacar monyet akan datang dengan ruam makulopapular atau vesikular atau pustular, yang tersebar di seluruh badan terutama di muka dan tangan;

BESERTA DENGAN
satu atau lebih daripada gejala atau tanda berikut:

  • Demam melebihi 38.3 °C
  • Sakit kepala yang teruk
  • Sakit belakang
  • Sakit urat
  • Bengkak kelenjar limfa
  • Kekejangan otot


DENGAN kriteria epidemiologi:
i. Sejarah pendedahan kepada kes disyaki atau disahkan dijangkiti cacar monyet semasa tempoh inkubasi,

ATAU
ii. Sejarah pendedahan kepada haiwan mamalia liar, haiwan kurungan atau peliharaan yang dibawa masuk dari negara endemik cacar monyet semasa tempoh inkubasi.


9. Adakah terdapat ujian makmal untuk mengesahkan diagnosis?
Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mempunyai kapasiti untuk melakukan ujian pengesanan virus cacar monyet. Spesimen diagnostik yang paling baik adalah sapuan cecair dari vesicular, sapuan lesi atau kuping lesi. Spesimen hendaklah disimpan dalam tiub steril kering (tanpa sebarang media pengangkutan virus) dan dihantar ke makmal pada suhu 2°C hingga 8°C. Spesimen mesti sampai ke makmal dalam masa 48 jam selepas pengumpulan bagi memastikan virus dapat diisolasi. Sebaiknya lebih daripada satu (1) sampel
diambil daripada pesakit untuk ujian pegesanan virus ini.

Jangkitan cacar monyet dapat disahkan melalui isolasi virus cacar monyet ATAU melalui ujian PCR. Selain itu, pengesanan virus menggunakan mikroskop electron ATAU pengesanan kehadiran virus orthopox dalam tisu dengan menggunakan ujian imunohistokimia boleh dilakukan dengan syarat tiada pendedahan kepada orthopoxvirus lain.

Kes cacar monyet boleh diklasifikasikan kepada 3:

i. Kes disyaki: kes yang memenuhi kriteria klinikal DAN epidemiologi, DAN masih
menunggu keputusan ujian makmal.

ii. Berkemungkinan kes: kes yang memenuhi kriteria klinikal dan epidemiologi
TETAPI tidak disahkan oleh makmal DAN mempunyai kaitan epidemiologi
dengan kes yang disahkan atau disyaki cacar monyet.

iii. Kes disahkan: kes yang memenuhi kriteria klinikal DAN disahkan makmal.

10. Apakah rawatan untuk cacar monyet?


Lazimnya jangkitan cacar monyet sembuh sendiri tanpa rawatan khusus dalam tempoh 2 ke 4 minggu. Gejala yang teruk biasa berlaku dalam kalangan kanak- kanak. Ia berkait dengan tahap pendedahan kepada virus dan status kesihatan pesakit.

CDC Atlanta melaporkan bahawa wabak cacar monyet boleh dikawal dengan vaksin cacar (smallpox), ubat antivirus cidofovir, tecovirimat dan Vaccinia immunoglobulin (VIG).

11. Adakah petugas kesihatan berisiko mendapat jangkitan cacar monyet?

Walaupun jangkitan manusia ke manusia adalah terhad, petugas kesihatan yang merawat pesakit cacar monyet hendaklah mengambil langkah pencegahan dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang bersesuaian bagi mengelakkan jangkitan melalui sentuhan dan udara.

12. Bagaimanakah cara menguruskan kes dan kontak rapat?

Kes cacar monyet hendaklah diasingkan sehingga semua lesi kering dan kuping
telah tercabut.

Kontak rapat dikategorikan sebagai:

i) Orang yang menjaga pesakit cacar monyet termasuk petugas kesihatan atau ahli keluarga, atau mempunyai hubungan fizikal rapat yang lain,

ii) Orang yang berada di tempat yang sama dengan kes yang berkemungkinan atau disahkan cacar monyet (contoh: tinggal bersama atau melawat).

Kontak dengan risiko jangkitan yang tinggi perlu dikuarantin dan dipantau selama 21 hari daripada tarikh pendedahan terakhir kepada kes yang disahkan bagi pemantauan gejala dan tanda jangkitan cacar monyet. Kontak dengan risiko jangkitan yang rendah hendaklah diletakkan di bawah pengawasan aktif dan pemantauan harian status kesihatan mereka. Kontak tanpa gejala tidak boleh menderma darah, sel, tisu, organ, susu ibu atau air mani semasa mereka berada di bawah pengawasan.

13. Adakah kes cacar monyet perlu dibuat notifikasi?
Cacar monyet tiada dalam senarai penyakit yang boleh dinotifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]. Walau bagaimanapun, memandangkan ia adalah penyakit yang baru muncul, semua kes yang disyaki atau berkemungkinan atau disahkan mesti dimaklumkan melalui telefon atau faks atau e-mel kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran dalam tempoh 24 jam, diikuti dengan notifikasi melalui Sistem e-Notifikasi.

14. Adakah WHO mengesyorkan sebarang sekatan perjalanan atau perdagangan berkaitan dengan virus orthopox ini?

Pada masa ini, berdasarkan maklumat yang ada, WHO tidak mengesyorkan sebarang sekatan perjalanan atau perdagangan dengan United Kingdom atau mana- mana negara yang disenaraikan.

15. Apakah yang perlu dilakukan semasa melancong ke negara endemik cacar monyet?

Pengembara ke negara endemik cacar monyet hendaklah mengelakkan diri daripada bersentuhan dengan haiwan (tikus, marsupial, primat) yang sakit atau mati dan berpotensi membawa virus orthopox. Jangan makan atau mengendalikan daging haiwan liar.

Sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun dan air. Gunakan hand sanitizer berasaskan alkohol apabila air dan sabun tidak tersedia.

Sebarang gejala dan tanda jangkitan cacar monyet semasa dalam perjalanan atau apabila pulang ke tanah air hendaklah dilaporkan kepada pengamal perubatan.

Maklumkan doktor mengenai sejarah perjalanan terkini serta aktiviti berisiko dijangkiti virus orthopox.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi:
Sektor Zoonosis
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel: 03-8883 4412/4508/4509 Fax : 03-8889 1013
Email: zoonosis@moh.gov.my

Rujukan:
1. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/cacar monyet Key Facts on Monkeypox.
2. Centers for Disease Control and Prevention Atlanta. 2003 United States Outbreak of Monkeypox. Page last reviewed September 28, 2018
3. WHO EIS; Event update: Singapore - Monkeypox, published 11 May 2019.
4. Ministry of Health Singapore. Press Release: Confirmed Imported Case of Monkeypox in Singapore. 9 May 2019.
5. New Carolina Communicable Disease Manual / Case Definition: Monkeypox. Nov 2007.
6. McSharry JJ et al. Pharmacodynamics of cidofovir for vaccinia virus infection in an in vitro hollow-fiber infection model system. Antimicrob Agent Chemother 2009 Jan;53(1):129-35.
7. Centers for Disease Control and Prevention Atlanta. Monkeypox - treatment. Page last reviewed December 7, 2016
8. https://www.who.int/emergencies/disease-outbreak-news/item/2022-DON383 Monkeypox - United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland.

 

Post a Comment

1 Comments

Terima kasih atas komen anda :)